11 Tips Melatih Anak Ke Tandas (Potty training)

Mengajar anak untuk buang air di tandas atau potty train menjadi antara penanda aras pencapaian anak, malah juga ibu bapa. Anak yang telah berjaya dilatih untuk ke tandas lebih awal dikatakan mempunyai perkembangan kognitif yang baik. Persoalannya, bilakah masa yang terbaik untuk potty train, dan bagaimana memulakannya?


Bila Masa Yang Sesuai Untuk Potty Training?

Bila masa yang sesuai untuk memulakan potty training bergantung kepada setiap individu. Ada yang telah memulakannya sejak anak berumur 1 tahun lebih, sebelum anak pandai bercakap lagi. Ada juga merasakan keperluan untuk potty training sebelum mereka melangkah masuk ke tadika. 

Bagi saya, eloklah dimulakan potty train setelah nampak tanda-tanda anak bersedia memulakan nya. Antara tandanya, anak menyorok atau pergi ke suatu bahagian ketika ingin membuang air besar. 

Saya ingin kongsikan tips potty train anak berdasarkan pengalaman saya sendiri. Saya mula potty train anak sejak umur 2 tahun lebih. 

Tips Potty Train Anak


1. Persediaan fizikal dan mental.

Ibu atau bapa perlu bersedia fizikal dan mental untuk melatih anak. Tanamkan dalam diri yang anak yang baru belajar masih belum mahir, dan akan ada 'accident' yang berlaku dalam proses latihan.

2. Pilih masa yang sesuai untuk mulakan.

Fahami tanda2 anak bersedia untuk dilatih. Pilih masa yang anda boleh luangkan masa yang lama untuk memantau progres anak, contohnya semasa cuti panjang.

Terbaik jika ibu bapa dapat mengambil cuti dan meluangkan masa dengan si anak. Elakkan melatih anak sekiranya dalam masa terdekat anda merancang untuk berjalan jauh.

3. Keazaman yang kuat.

Ibu bapa yang ingin potty train anak perlu betul-betul bersungguh mahu menjayakannya, bukan hanya hangat-hangat tahi ayam. Set kan target bila mahu anak bebas lampin pakai buang sepenuhnya.

4. Tanamkan mindset anak.

Anak juga perlu diberi mindset yang dia akan menjalani latihan untuk ke tandas. Beritahu anak-anak sekurang-kurangnya seminggu awal untuk memulakan latihan ini.

Jangan sangka mereka tidak faham. Mereka juga perlu diberi persediaan. Beritahu mereka apa yang akan berlaku dan kenapa mereka perlu berbuat demikian. Ajarnya agar memberitahu anda setiap kali rasa ingin buang air.

5. Buatkan mereka suka untuk menjalani latihan.

Naluri kanak-kanak suka cuba sesuatu yang baru. Untuk menjayakan latihan, belikan mereka seluar dalam baru mengikut selera mereka. Barangkali anda boleh membeli seluar dalam yang mempunyai gambar kartun kegemaran mereka.

Anda juga boleh membelikan tangga atau mangkuk potty train khas untuk budak yang menarik. Buatkan mereka rasa teruja untuk memulakannya.

6. Sediakan persekitaran yang membantu latihan.

Sekiranya anda sayangkan karpet anda terkena najis semasa proses latihan, simpan semua karpet di tempat lain. Biarkan kawasan yang anak sering bermain lapang.

7. Hati perlu kental.

Ibu atau bapa yang ingin melatih anak untuk buang air di tandas perlu tetap pendirian dan mempunyai hati yang kental. Bertekad untuk tetap meneruskan sesi latihan bagi memastikan ia berjaya.

8. Kerap bawa anak ke tandas.

Semasa proses latihan, bawa anak lebih kerap untuk ke tandas. Ada yang memulakan dengan mengajak anak ke tandas setiap 15 minit. Bagi saya, selang 30 minit sudah memadai. Ajar anak untuk menggunakan tandas dengan betul dan gunakan bahasa yang mudah.

9. Beri ganjaran pada anak.

Setiap kali anak anda berjaya buang air di tandas, berikan pujian padanya. Buat sistem ganjaran seperti jadual kejayaan anak. Kalau saya, saya berikan pelekat bintang apabila dia berjaya buang air di tandas.

Boleh juga beri apa sahaja ganjaran lain yang disukainya. Untuk anak kedua, saya berikannya ganjaran multivitamin Vita lea For Children setiap kali dia tidak bocor dalam masa sehari.

10. Elakkan anak dari keliru

Apabila anda telah memulakan latihan, penting untuk tetap meneruskannya untuk mengelakkan anak keliru jika kadangkala dipakaikan lampin, kadangkala tidak dipakaikan lampin.

Ada pendapat yang menyarankan agar apabila mula sahaja latihan pada siang hari, teruskan juga di malam hari.

Tapi bagi saya, elok juga dibuat secara beransur-ansur. Apabila anak sudah mahir, baru teruskan pada sebelah malam pula.

Tetapi jika ingin memulakan latihan pada sebelah malam, pastikan anda membuat persediaan dengan mengajak anak ke tandas sebelum tidur, dan alaskan tilam anak dengan pelapik yang kalis air.

11. Elakkan stress dan cuba kawal dari memarahi anak.

Emosi ibu atau bapa sangat penting semasa sesi latihan. Ibu yang cepat marah ketika anak bocor membuatkan anak takut untuk meneruskan latihan dan mungkin akan mengambil masa yang lebih lama untuk melatihnya kemudian. Jangan ambil mudah perkara ini. Emosi anak juga perlu dijaga.

Apa yang saya lakukan untuk kawal emosi semasa latihan adalah dengan mengambil suplemen B Complex Shaklee. Ia membantu saya untuk mengawal emosi dan lebih tenang menghadapi kebocoran anak.


Kesimpulannya, potty train anak bukan sesuatu yang boleh dianggap mudah, namun ia tidak mustahil dilakukan sehingga berjaya. Buatlah persediaan yang rapi dan semoga berjaya!